PORTO: Kai Havertz berkata, sudah 15 tahun dia bekerja keras untuk menantikan detik menjulang kejuaraan Eropah selepas jaringan tunggalnya membantu Chelsea menumpaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan akhir hari ini.
Havertz, 21, meledak gol kemenangan pada minit ke-42 iaitu jaringan pertamanya buat Blues dalam kempen Liga Juara-Juara, sekali gus menghadiahkan trofi Eropah kedua buat kelab London itu, sembilan tahun selepas mengalahkan Bayern Munich.
“Saya hilang kata-kata, sudah terlalu lama saya menunggu. Saya bekerja keras selama 15 tahun untuk menantikan detik ini, saya benar-benar teruja,” kata penyerang Jerman itu kepada BT Sport.
Kapten Blues, Cesar Azpilicueta memuji aksi cemerlang bintang muda berusia 21 tahun itu yang beraksi tanpa rasa gugup biarpun menjejakkan kaki di pentas akhir Eropah buat kali pertama.
“Mentaliti Havertz sangat hebat, dia bakal menjadi bintang besar. Lariannya sangat hebat, dia berhak muncul wira pasukan.
“Saya datang ke sini selepas kami menjuarai Liga Juara-Juara pada 2012. Berjaya mengulangi pencapaian sembilan tahun lalu sesuatu yang menakjubkan.
“Seluruh keluarga saya turut berada di sini hari ini. Ia detik yang amat istimewa,” katanya.
Bintang tengah Perancis, N’Golo Kante dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selepas mempamer aksi ‘tidak kenal penat’ dan merencanakan gerakan-gerakan bahaya Blues.
“Amat menakjubkan. Keputusan ini memerlukan kerja keras dan selepas mengharungi musim sukar, ia berakhir dengan kejayaan hasil kerjasama seluruh pasukan.
“Kami pernah menderita, kami berjuang hingga ke akhirnya dan kami dihadiahkan dengan kemenangan,” kata Kante kepada RMC Sport.
Pemain berusia 30 tahun itu juga memuji impak yang dibawah masuk Thomas Tuchel sejak mengambil alih Chelsea daripada Frank Lampard, Januari lalu.
Selain muncul juara Eropah, Blues turut menutup kempen Liga Perdana Inggeris di tangga keempat dan muncul naib juara Piala FA biarpun berada dalam keadaan terumbang ambil pada awal tahun.
“Kehadiran jurulatih baharu merubah segalanya. Dia melakukan perubahan taktik dan memerlukan usaha keras kami untuk menerapkan pedekatannya,” kata Kante. – AGENSI