MADRID: Luis Suarez menangis ketika meraikan kemenangan Atletico Madrid melalui FaceTime bersama keluarga dan rakan-rakannya pada hari terakhir La Liga, hari ini.
Selepas ‘dibuang’ oleh Barcelona dengan alasan dia sudah tua dan tidak diperlukan, penyerang Uruguay itu membuktikan bekas pasukannya telah melakukan kesilapan amat besar.
Pada usia 34 tahun, Suarez masih hebat dengan meledak gol ke-21 dalam saingan La Liga musim ini untuk membantu Atletico menjulang kejuaraan Liga Sepanyol buat kali ke-11.
Suarez meledak gol kemenangan pasukannya pada minit ke-67 untuk membantu mereka mengalahkan Valladolid 2-1, sekali gus mengenepikan pesaing terdekat, Real Madrid yang menang 2-1 ke atas Villarreal menerusi kelebihan dua mata.
Barcelona yang menumpaskan Eibar 1-0 menutup kempen di tangga ketiga.
Sebaik saja wisel penamat ditiupkan dan Atletico disahkan sebagai juara, Suarez amat beremosi mengenangkan bagaimana dia disingkirkan oleh Barcelona tahun lalu tanpa belas kasihan.
Look what it means to Luis Suarez ?❤️
(via @LaLigaEN)pic.twitter.com/KgAI0B9GmL
— ESPN FC (@ESPNFC) May 22, 2021
“Barcelona tidak menghargai saya dan Atletico telah membuka pintu mereka untuk saya.
“Saya akan sentiasa berterima kasih kepada kelab ini kerana mempercayai saya,” kata Suarez sejurus tamat perlawanan. – AGENSI