LONDON: Ole Gunnar Solskjaer bertuah masih kekal di Manchester United, kata pengulas bola sepak England yang juga legenda Arsenal, Martin Keown.
Solskjaer gagal merangkul trofi pertama sebagai pengurus Red Devils selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Villarreal dalam final Liga Europa, Rabu lalu.
Bagaimanapun ahli lembaga kelab bersetuju untuk menyambung kontraknya dan membenarkan jurulatih kelahiran Norway itu melakukan empat pembelian pemain baharu pada pasaran perpindahan akan datang.
Bagi Keown, Solskjaer tidak layak mendapat kontrak baharu melihat kepada posisi kelab ketika ini, walaupun mereka berjaya muncul naib juara Liga Perdana Inggeris.
“Kita biasa melihat Manchester United memenangi banyak trofi.
“Ia (naib juara Liga Europa dan Liga Perdana) umpama menghampiri kelahiran semula Manchester United tapi sampai bila kena menunggu (merangkul kejuaraan).
“Ya, aksi konsisten dan menamatkan kempen di tangga kedua Liga Perdana mungkin faktor yang membolehkannya mendapat kontrak baharu tapi untuk kelab seperti Manchester United, mereka perlukan trofi,” kata Keown.
Ketika ditanya sekali lagi apakah Solskjaer layak mendapat kontrak baharu, Keown membalas: “Jika kita melihat semula standard (United) sebelum ini, maka jawapannya tidak.
“Bagaimanapun sehingga kini tiada siapa dapat mengikut jejak Sir Alex Ferguson.
“Mereka membawa masuk beberapa pengurus hebat ke dalam kelab tetapi tidak begitu dipercayai atau benar-benar ‘menjadi’. Saya rasa perkara yang sama dengan Ole.
“Saya rasakan, melihat semua yang berlaku selama tiga tahun ini, dia amat bertuah masih kekal di sana.
“Dia tahu standard yang ditetapkan dan tidak boleh terus mengalami kekecewaan selepas satu, satu separuh akhir (kalah) dan kemudian masuk final (tewas lagi).
“Tetapi inilah (standard) Manchester United sekarang,” katanya. – AGENSI