LONDON: Perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2021 menemukan dua gergasi England yang juga antara pasukan paling ‘mahal’ di muka bumi, Manchester City dan Chelsea.
Menurut Transfermarkt, nilai keseluruhan skuad City musim ini 971.64 juta pound (RM5.70 bilion), menjadikan mereka pasukan kedua paling bernilai selepas Liverpool 973 juta pound (RM5.71 bilion).
Chelsea pula dianggarkan bernilai 838.90 juta pound (RM4.92 bilion) meletakkan mereka di tangga ketujuh.
Pertembungan di Porto juga menemukan dua pengurus elit. Pep Guardiola mahu membawa City merangkul trofi Liga Juara-Juara pertama, manakala Thomas Tuchel memburu kejuaraan Eropah pada musim pertama di Chelsea.
Di atas kertas, City menjadi pilihan kerana prestasi mantap yang ditunjukkan ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris.
Skuad Citizens yang turut menjuarai Piala Liga menang 27 daripada 38 perlawanan liga, berbanding Chelsea yang hanya menang 19 kali.
Bagaimanapun Blues menumpaskan City dalam dua pertemuan terakhir. Menang 2-1 di Etihad dalam aksi Liga Perdana 8 Mei lalu dan 1-0 di separuh akhir Piala FA pada 17 April.
Jika City menyingkirkan PSG dan Borussia Dortmund dalam laluan ke final, Chelsea pula menewaskan juara La Liga, Atletico Madrid (16 akhir), bekas juara Eropah, Porto (suku akhir) dan juara 13 kali, Real Madrid di separuh akhir.
PERTAHANAN CHELSEA LAWAN SERANGAN CITY
Pertahanan ampuh menjadi kekuatan yang membawa City dan Chelsea ke final. Kedua-dua pasukan memiliki rekod bolos paling sikit, baik dalam di pentas Eropah mahupun domestik.City hanya dibolosi satu gol dalam enam aksi kumpulan, manakala Chelsea melepaskan dua gol. Di peringkat domestik, City memegang rekod terendah dengan bolos 32 kali dan Blues kedua terendah (36).
Daripada segi jaringan, City meledak 25 gol dalam kempen Eropah, tiga mengatasi Chelsea. Begitupun Blues memegang kelebihan psikologi kerana memenangi dua pertemuan terakhir dalam saingan domestik.
Dalam kedua-dua perlawanan, serangan balas Chelsea memerangkap City yang menyerang secara terbuka. Dengan kelajuan Mount, dia akan memberi masalah kepada benteng lawan jika berjaya membawa bola dan disambut oleh Werner.
Serangan City pula amat bahaya tidak kira siapa yang diturunkan oleh Guardiola – Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Phil Foden, Bernardo Silva, Gabriel Jesus, Ferran Torres atau Sergio Aguero, yang dijangka masuk dari bangku simpanan.
FODEN LAWAN MOUNT
Terdapat banyak persamaan antara Mount dan Foden. Kedua-duanya rakan baik yang akan menjadi perancang utama pasukan masing-masing hujung minggu ini.
Dua bintang muda England itu biasanya gemar beraksi dari sebelah kiri, namun tugas Foden, 22, lebih mudah dijangka. Dia akan mengutip bola dari belakang membawa ke tengah untuk dihantar kepada Ilkay Gundogan atau Rodri. Umpanannya mampu mengundang bahaya jika sampai kepada Riyad Mahrez.
Mount, 22, jarang mencipta peluang dalam kotak penalti tetapi sering membantu jentera serangan Chelsea menerusi hantaran-hantaran sukar dibaca. Sejak Tuchel mengambil alih Chelsea, dia mencipta gerakan gol dua kali ganda lebih banyak daripada mana-mana pemain Blues musim ini (45).