Sherman bantu Kedah tumbangkan Sang Badak - Utusan Malaysia

Sherman bantu Kedah tumbangkan Sang Badak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan tunggal penyerang dari Liberia, Kpah Sherman sudah cukup untuk membantu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membawa pulang tiga mata daripada Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Kemenangan pasukan Lang Merah 1-0 ke atas Sabah itu menyekat hasrat skuad Sang Badak untuk mencipta kemenangan ketiga berturut-turut di laman sendiri selepas melakukannya dengan menewaskan Perak 2-1 dan Melaka United 3-1.

Bermain dalam keadaan padang basah ekoran hujan lebat selepas 15 minit perlawanan bermula jelas mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan.

Begitupun, penyokong tuan rumah yang lengkap berbaju Melayu tidak berganjak kerana mahu terus memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Peluang terbaik untuk skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului hadir pada minit ke-23 namun gagal dimanfaatkan Sherman meskipun penjaga gol Sabah, Robson Rendy telah tertewas.

Tersentak dengan serangan itu, skuad Sang Badak kembali mengatur gerakan serangan ke gawang pelawat dan peluang keemasan untuk tuan rumah di depan hadir pada minit ke-30 tetapi percubaan Amri Yahyah gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, Kedah sekali lagi melancarkan serangan awal dan memperolehi sepakan percuma di depan kotak penalti tuan rumah pada minit ke-48.

Begitupun, sepakan Rabih Ataya berjaya ditolak keluar oleh Randy, sebelum perlawanan ditangguhkan selama satu jam oleh pengadil perlawanan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah ekoran keadaan padang air bertakung ekoran hujan lebat yang merencat aksi kedua-dua pasukan pada minit ke-57.

Permainan yang disambung semula dalam keadaan padang basah dan air bertakung menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain bola tinggi.

Kedah meraih kemenangan kelapan musim ini sebelum liga berehat dan kembali bersambung pada Julai nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya