KUANTAN: Pahang sudah tidak sabar-sabar hendak menggunakan senjata baharu apabila bakal menurunkan tiga import yang baru didaftarkan semalam untuk menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Kuantan malam ini.
Selepas kalah 1-3 kepada Reds Giants dalam aksi pertama pada 6 Mac lalu, skuad Tok Gajah mahu menebus kekalahan dan bakal menurunkan Aung Kaung Mann (Myanmar), Kenny Athiu (Sudan) serta Manual Hildago (Argentina).
Pemain tengah kelahiran Ghana, Abu Bakar Yakubu bagaimanapun tidak sempat untuk diturunkan kerana hanya selesai menjalani kuarantin hari ini.
Masalah jentera serangan yang membelenggu Thomas Dolley dan Dollah Salleh sebelum ini dijangka selesai dengan kemasukan tiga import baharu.
Dalam aksi bertemu Selangor, gandingan Kaung Mann dan pemain kebangsaan, Mohd. Azam Azih serta Malik Mat Arif sudah pasti menjadi taruhan Dollah.
“Masalah utama Sri Pahang sebelum ini adalah ketumpulan bahagian serangan dan kita percaya ia dapat diatasi apabila menerima kunjungan Selangor nanti,” kata ketua Pegawai Eksekutif Sri
Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang kepada Utusan Malaysia semalam.
Kehadiran Athiu dan Hildago menjadi tumpuan berdasarkan pengalaman luas dua pemain berkenaan sebelum ini.
Utusan Malaysia difahamkan mereka tidak akan diturunkan sepenuh masa kerana baru pertama kali beraksi.
Pemain import sedia ada, Lee Tuck dan Herold Goulon mungkin merebut salah satu slot kesebelasan utama Tok Gajah malam ini.
Sementara itu, keghairahan penyokong untuk melihat ‘wajah baharu’ Tok Gajah sedikit terbantut selepas hanya 600 penonton dibenarkan memasuki stadium ekoran peningkatan kes Covid-19.
Sebelum ini Pahang mendapat kuota lebih 2,000 berdasarkan kapasiti yang ditetapkan.
Selepas 11 perlawanan, Tok Gajah kini menghuni tangga kedua tercorot lapan mata.