'Saya tak mampu ambil alih Perak FC' - Utusan Malaysia

‘Saya tak mampu ambil alih Perak FC’

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, beliau tidak mampu untuk kembali menerajui Bos Gaurus biarpun ada desakan dalam kalangan peminat mahu beliau kembali mengambil alih bola sepak negeri.

Ahmad Faizal yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, beliau sentiasa akan terus menyokong Perak FC tetapi dengan kapasiti sekarang (bukan lagi Menteri Besar), beliau tiada keupayaan, terutama dari segi kewangan.

“Sebagai bekas Presiden (Pafa), saya sentiasa bersedia tetapi saya tidak mampu. Tempat itu buat masa ini lebih sesuai dipegang oleh Menteri Besar. Bola sepak sukan nombor satu rakyat, jadi kita mahu Menteri Besar pastikan pasukan dan kelab dalam keadaan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau akan kekal sebagai peminat bola sepak Perak dan pasukan kebangsaan dan berusaha melalui apa juga kapasiti bagi membantu perkembangan bola sepak.

“Buat masa sekarang saya bekerjasama sambil memberi bantuan kewangan kepada akademi bola sepak yang mencungkil bakat-bakar muda seawal lima tahun di sekitar bandar raya Ipoh. Saya pantau perkembangan mereka dan berusaha secara kecil-kecilan,” katanya.

Ahmad Faizal antara nama yang dicadangkan oleh penyokong Bos Gaurus untuk menerajui Perak FC, selain bekas Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan bekas pengurus, Datuk Jamal Nasir Rasdi.

Perak berdepan isu kewangan yang menyebabkan gaji pasukan tertunggak dan mendorong peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Ali Naizali pada 10 Mei lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya