KUALA TERENGGANU: Pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak muncul wira Sarawak United apabila meledak gol kemenangan mengalahkan Kelantan United 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini sebentar tadi.
Tiga mata penuh bermakna Sarawak kembali merampas takhta Liga Perdana selepas pesaing rapat mereka, Negeri Sembilan hanya mampu seri 0-0 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II).
Awal permainan menyebelahi Sarawak yang dihadiahkan sepakan penalti ekoran kekasaran Juzaerul Jasmi ke atas Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-14.
Namun kesempatan itu gagal disudahkan Norshahrul apabila sepakan leretnya sekadar mengenai tiang gol sekali gus menyelamatkan pintu gol Kelantan United.
Dominasi Sarawak United diteruskan pada minit ke-35 menyaksikan hantaran Khair Jones disambar Lee Changhoon namun ditepis penjaga gol lawan.
Gol dicari-cari Sarawak United menjelma sejurus sebelum rehat selepas Christie Jayaseelan menyempurnakan umpanan leret Changhoon pada minit ke-45.
Aksi babak kedua lebih rancak apabila Kelantan United menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58 hasil rembatan padu ketua pasukan, Masashi Motoyama.
Kelantan United kemudian mendahului 2-1 apabila lambungan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee yang keluar daripada posisinya pada minit ke-68.
Permainan kembali seimbang tiga minit selepas itu melalui tandukan Norshahrul yang menerima hantaran Changhoon untuk kedudukan menjadi 2-2.
Sarawak United akhirnya memperoleh gol kemenangan apabila Abdul Rahim menolak kemas gerakan dimulakan Norshahrul ketika aksi berbaki 10 minit.
Sarawak United menonjak ke tangga teratas Liga Perdana dengan mengumpul 23 mata, satu mata mengatasi Negeri Sembilan.