LONDON: Liverpool tidak tahu apa akan berlaku kepada Mohamed Salah selepas bintang Mesir itu menjadi ‘rebutan’ antara Paris Saint-Germain (PSG) dan bekas kelabnya, Chelsea.
Menurut laporan Bild, PSG mahukan Salah, 28, sekiranya Kylian Mbappe meninggalkan kelab.
Kontrak penyerang Perancis itu hanya berbaki setahun, dan itu memaksa PSG memikirkan opsyen pengganti jika Mbappe memilih untuk pergi.
Bagaimanapun Chelsea juga berminat untuk kembali menandatangani Salah dan hanya menunggu masa untuk menyambar pemain sayap itu jika dia ‘membuka mulut’ untuk meninggalkan Anfield.
Perkembangan semasa meletakkan Reds ‘tidak senang duduk’ dan perlu memikirkan pelan B sekiranya hilang khidmat Salah musim depan.
Salah yang menikmati gaji 200,000 pound (RM1.16 juta) seminggu masih mempunyai kontrak sehingga 2023-2024.
Pemain muda England, Jadon Sancho yang kini cemerlang bersama Borussia Dortmund antara sasaran utama Liverpool jika mereka kehilangan Salah.
Jika Liverpool gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan ia bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya Salah meminta untuk meninggalkan Liverpool.