Sabah uji fizikal, mental Kedah - Utusan Malaysia

Sabah uji fizikal, mental Kedah

PEMAIN Kedah menjalani latihan akhir semalam dalam persiapan menghadai Sabah malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketahanan fizikal dan mental pemain Kedah bakal teruji pada pertemuan menentang Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini.

Perlawanan itu sangat penting kepada pemain Kedah bagi memburu kelompok teratas liga.

Ini kerana mereka baru saja melalui perlawanan berintensiti tinggi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri, Selasa lalu.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak mengakui, keadaan itu sedikit sebanyak mendatangkan cabaran buat anak-anak buahnya dalam menampilkan aksi terbaik.

“Saya akui keadaan itu agak mencabar kerana selepas bertemu JDT, kita menempuh perjalanan jauh dan akan menentang satu lagi pasukan yang turut tidak boleh dipandang mudah.

“Sebelum ini memang kita pernah mengalahkan mereka tetapi apa yang boleh saya katakan, Sabah FC kini tampak berbeza berbanding sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kenyataan Aidil tampak ada benarnya apabila Sabah yang pernah hampir terperosok di dasar Liga Super tidak lagi tewas dalam lima perlawanan terakhir menentang Melaka United, Selangor FC, Perak FC, UiTM FC dan Penang FC.

Malah ketika ini bekas penyerang kebangsaan yang sudah pun berusia 40 tahun, Amri Yahyah, jelas membuktikan betapa dia mampu terus mendatangkan ancaman kepada mana-mana pasukan apabila menjaringkan dua gol cantik dalam perlawanan terakhir menentang Melaka United.

Justeru kata Aidil, pasukannya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk berdepan Sabah FC.

“Jelas pada ketika ini Sabah FC berada dalam prestasi yang baik.

“Insya-Allah, kami akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan itu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya