LISBON: Cristiano Ronaldo mengetuai jentera serangan ampuh juara bertahan, Portugal ketika jurulatih, Fernando Santos mengumumkan skuad ke Kejohanan Eropah (Euro) 2020 hari ini.
Ronaldo yang baru membantu Juventus merangkul Piala Itali, selain meledak 100 gol buat gergasi Serie A itu bakal bergandingan dengan bintang Manchester City, Bernardo Silva dan Manchester United, Bruno Fernandes.
Melengkapkan serangan mereka dalam kejohanan yang akan bermula 11 Jun depan adalah pemain sensasi Atletico Madrid, Joao Felix dan penyerang Liverpool, Diogo Jota.
Portugal juga menyenaraikan penjaring terbanyak Eintracht Frankfurt dalam Liga Jerman musim ini, Andre Silva.
Barisan pertahanan yang diumumkan Santos juga amat mantap, sekaligus meletakkan Portugal seimbang di semua posisi.
Dua tonggak yang membantu City muncul juara Liga Perdana Inggeris, Ruben Dias dan Joao Cancelo sekali lagi bakal membentuk gandingan mantap di Portugal bersama bek kanan Borussia Dortmund, Raphael Guerreiro.
Portugal diletak dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara dunia, Perancis, Jerman dan Hungary.
Mereka akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang Sepanyol pada 4 Jun, diikuti Israel 9 Jun sebelum memulakan kempen Kumpulan F Euro 2020. – AGENSI
SKUAD PORTUGAL
PENJAGA GOL
Anthony Lopes (Olympique Lyon), Rui Patricio (Wolves), Rui Silva (Granada)
PERTAHANAN
Joao Cancelo (Manchester City), Nelson Semedo (Wolverhampton), Jose Fonte (Lille), Pepe (Porto), Ruben Dias (Manchester City), Nuno Mendes (Sporting), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund)
TENGAH
Danilo Pereira (PSG), Joao Palhinha (Sporting), Ruben Neves (Wolves), Bruno Fernandes (Manchester United), Joao Moutinho (Wolverhampton), Renato Sanches (Lille), Sergio Oliveira (Porto), William Carvalho (Real Betis)
SERANGAN
Pedro Goncalves (Sporting), Andre Silva (Eintracht Frankfurt), Bernardo Silva (Manchester City), Cristiano Ronaldo (Juventus), Diogo Jota (Liverpool), Goncalo Guedes (Valencia), Joao Felix (Atletico Madrid), Rafa Silva (Benfica)