LONDON: Biarpun mengakui hatinya ‘remuk’ atas kegagalan Leicester City melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan, namun Brendan Rodgers menegaskan, dia tidak akan meninggalkan The Foxes.
Pengendali dari Ireland Utara itu sasaran utama Tottenham, pasukan yang menghancurkan misi Eropah mereka selepas menumpaskan Leicester 4-2 di Stadium King Power dalam aksi terakhir liga semalam.
Kekalahan itu bermakna, The Foxes menamatkan kempen di tangga kelima, hanya satu mata di belakang Chelsea yang bernasib baik meraih tiket Eropah biarpun tumpas 1-2 kepada Aston Villa.
Kejayaan menjuarai Piala FA buat kali pertama dalam sejarah bagaimanapun meredakan kekecewaan penyokong Leicester dan meyakinkan Rodgers untuk kekal bersama mereka.
“Tidak perlu risau tentang saya. Saya amat suka berada di Leicester City.
“Saya rasa amat beremosi sekarang selepas kami terlepas peluang terbaik untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
“Situasi itu memberi motivasi kepada saya untuk bekerja lebih keras musim depan. Saya mahu bawa kelab ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.