Poku lulus aksi pertama - Utusan Malaysia

Poku lulus aksi pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Jurulatih Perak, Chong Yee Fatt berpuas hati dengan aksi pertama pemain import baharu, Nana Poku ketika menentang Petaling Jaya City (PJ City) dalam perlawanan Liga Super semalam.

“Dia buat apa yang saya mahu dia buat dan membawa perubahan ketara jentera serangan Perak, ” kata Yee Fatt kepada Utusan Malaysia hari ini.

Poku, 29, diturunkan dalam kesebelasan permulaan pasukan The Bos Gaurus dalam perlawanan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Biarpun tidak menjaring sebarang gol, penyerang Ghana itu membuat kehadirannya dirasai dengan sumbangan berkesan.

Dalam perlawanan itu, Sergio Aguero menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Perak menang 1-0.

Bagaimanapun  pasukan pelawat sepatutnya boleh menang dengan jurang lebih besar jika beberapa peluang lagi berjaya disudahkan Poku dan Nazirul Naim Che Hashim.

Yee Fatt yang lega dengan kejayaan itu mengakui kemenangan itu mengurangkan sesak di dada.

“kini saya mampu menghela nafas lega berikutan kejayaan  ke atas PJ City selepas tertekan akibat pencapaian kurang memberangsangkan dalam empat perlawanan.

“Yang penting kutip mata penuh, berapa jaringan tidak penting,” katanya.

Apapun jurulatih itu berkata, masih ada elemen negatif di kalangan pemain seperti mudah kehilangan bola dan membuat hantaran liar.

“Kena perbaiki kelemahan dan kepincangan jika Perak mahu terus memberi saingan kepada pencabar lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya