IPOH: Perak terkejut dengan desus desas kaptennya, Shahrul Mohd. Saad atau Badak akan berpindah ke Sri Pahang dalam baki Liga Super 2021.
Baik pengurusan kelab hingga jurulatih dan rakan sepasukan langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai isu yang kini tular di Facebook.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali sendiri teripinga-pinga apabila ditanya mengenai berita itu dan mengaku tidak mengetahui mengenainya.
“Saya tidak dengar apa-apa mengenai Badak mahu meninggalkan pasukan.
“Pengurus Pahang kawan baik saya. Dia tidak menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai langkah Sri Pahang FC mahu mendapatkan Shahrul,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Pengurus Perak, Ishsam Shahruddin yang baru tiga hari dilantik hairan jika Shahrul memilih Pahang dan bukan Selangor atau Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya sudah membuat semakan dengan pegawai dan pemain. Tiada yang tahu apa-apa.
“Bagaimanapun cerita Shahrul nak berhijrah ni setiap tahun ada. Nampaknya ada individu nakal yang suka buat cerita bukan-bukan,” katanya.
Penolong jurulatih, Shahril Nizam Khalil pula menyifatkan berita itu sebagai khabar angin.
Dalam perkembangan lain, Perak mendapat khidmat penyerang baharu dari Ghana, Nana Poku dalam usaha memantapkan pasukan bagi mengharungi baki kempen Liga Super.