Perak FC belum dengar 'khabar' Vida - Utusan Malaysia

Perak FC belum dengar ‘khabar’ Vida

VIDA turut mendapatkan pandangan Ahmad Faizal Azumu sebelum membuat keputusan sama ada mahu terlibat dalam Perak FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC masih belum menerima ‘pengakuan rasmi’ daripada Datuk Seri Hasmiza Othman yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk memiliki skuad Bos Gaurus.

Walaupun perkara itu heboh diperkatakan, namun Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO), Perak FC, Rizal Ali Naizali berkata, sehingga kini jutawan kosmetik tersebut belum menghubungi kelab mahu pun memaklumkan mengenai hasratnya.

“Tiada rekod perbincangan atau pertemuan antara pihak terbabit atau dengan wakil Perak FC setakat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Vida sebelum ini menegaskan, beliau serius untuk mengambil alih Perak FC, malah sudah mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mendapatkan gambaran situasi semasa bola sepak tanah air, terutamanya Perak.

Masalah kewangan yang serius menyebabkan Perak FC mencari pelabur yang berminat untuk mengambil alih pasukan itu selepas seorang demi seorang pemainnya angkat kaki ekoran isu tunggakan gaji.

Kini hanya tinggal beberapa pemain utama seperti Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Amirul Azhan Adnan, Idris Ahmad, Firdaus Saiyadi dan Rafiuddin Roddin yang kekal.

Pemain-pemain muda seperti Muhammad Izzuddin Roslan, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham, Farid Khazali serta pemain Perak II kini akan memikul tanggungjawab besar dalam baki kempen liga.

Rizal sendiri hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk menggalas tugas CEO Perak FC kerana telah memberi notis sebulan untuk meletak jawatan. Tarikh akhir perkhidmatannya adalah pada 10 Jun depan.

Ahli perniagaan itu meletak jawatan sejurus selepas tamat perlawanan Liga Super bertemu Sri Pahang di Ipoh pada 9 Mei lalu.

Bagaimanapun tindakannya ditolak kerana dikatakan dilakukan secara tidak mengikut peraturan.

Berikutan itu Rizal mengemukakan permohonan berhenti secara rasmi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya