PORTO: Tindakan pihak berkuasa melonggarkan peraturan Covid-19 pada saat akhir mencetus kemarahan penduduk Porto selepas ribuan peminat bola sepak England membanjiri bandar raya Portugal itu dengan sebahagian daripadanya tidak memakai pelitup muka beberapa jam sebelum berlangsung final Liga Juara-Juara di antara Manchester City dan Chelsea awal pagi nanti (3 pagi waktu Malaysia).
Kebanyakan penduduk tempatan bimbang lonjakan jangkitan akan berlaku kerana varian virus berkenaan telah menular di beberapa bahagian di England setelah kali pertama dikesan di India.
Sebahagian yang lain pula kesal kerana peminat luar dibenarkan masuk ke dalam stadium sedangkan penduduk tempatan dilarang menghadiri pertandingan selama berbulan-bulan.
“Sekiranya mereka membuka (stadium) untuk orang Inggeris, mereka harus membukanya kepada semua,” kata Alexandre Magalhaes ketika melalui jalan di Porto yang penuh sesak dengan peminat.
Kerajaan Portugal pada mulanya menetapkan peminat bola sepak Inggeris hanya boleh datang pada hari pertandingan dan tinggal dalam ‘gelembung’ sebelum segera pulang ke England sebaik saja tamat perlawanan.
Bagaimanapun kelmarin, pihak berkuasa menolak syarat agar peminat kekal dalam gelembung dan melonggarkan sekatan.
Badan bola sepak Eropah, UEFA sebelum ini memindahkan lokasi perlawanan akhir dari Istanbul ke Porto bagi membolehkan penyokong England datang ke Portugal di bawah sekatan Covid-19. – AGENSI