ALOR SETAR: Sepakan penalti Bergson Da Silva pada waktu kecederaan membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal di tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun hadir dalam keadaan cukup mencabar dengan Kedah menampilkan aksi cemerlang bagi mengekang bintang-bintang dari selatan itu untuk memuktamadkan kemenangan pada awal permainan.
Malah pada minit keempat, Kedah terlebih dulu mendatangkan ancaman kepada JDT menerusi gerakan menarik hasil ilham Tchetche Kipre dan Kpah Sherman. Namun sentuhan terakhir yang dibuat Rabih Ataya sekadar singgah ke tiang gol pelawat.
JDT bagaimanapun kembali memberi isyarat untuk melawan apabila sepakan percuma dari luar kotak penalti yang diambil Safawi Rasid pada minit ke-21, menuntut penjaga gol Kedah, Mohd. Shahril Saari merebahkan badan bagi menyelamatkan keadaan.
Perlawanan selepas itu berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling mencari jalan untuk masuk ke kawasan lawan namun tiada percubaan tepat dihasilkan.
Kpah Sherman bagaimanapun mengambil peluang untuk setidak-tidaknya mendatangkan ‘gempar’ kepada kem JDT apabila tandukannya pada minit ke-40, singgah ke palang pasukan pelawat.
Sebaik tamat separuh masa pertama, keadaan menjadi panas seketika apabila berlaku perang mulut antara jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dengan Gonzalo Cabrera sebelum turut disertai pegawai kedua-dua pasukan.
Keadaan yang berlanjutan selama beberapa minit itu kemudiannya reda apabila kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan masing-masing sebelum Cabrera serta Aidil saling bermaafan ketika kedua-duanya kembali ke padang bagi menyambung babak kedua perlawanan.
Lima minit selepas separuh masa kedua bersambung, JDT terlebih dulu menguji menghadirkan cemas kepada tuan rumah apabila Bergson Da Silva melakukan tandukan kencang ke arah pintu gol KDA FC hasil sepakan sudut Leandro Velazquez.
Mohd. Shahril bagaimanapun sekali lagi menjadi penghalang apabila berada di kedudukan tepat untuk menepis keluar bola tersebut.
JDT kehilangan khidmat Cabrera pada minit ke-59 apabila pemain itu bertembung dengan ‘kereta kebal’ Kedah, Renan Alves.
Namun keadaan itu tampak tidak langsung menyebabkan JDT tempang dengan beberapa percubaan terus dilakukan mereka bagi mengancam kubu tuan rumah.
Keadaan itu mendesak pertahanan tuan rumah melakukan kesilapan apabila Renan Alves menjatuhkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh sekali gus membolehkan Bergson membuat jaringan.