PETALING JAYA: Dakwaan bahawa pasangan ibu dan anak dari Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman ‘lolos’ untuk beraksi dalam kejohanan badminton Terbuka Malaysia adalah tidak benar.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, undian kejohanan yang tersebar dalam media sosial hari ini tidak pernah diluluskan kerajaan Malaysia.
Seorang peminat sebelum itu mengajukan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican benarkah beregu campuran dari Israel dibenarkan beraksi dalam Terbuka Malaysia sambil membuat naik undian yang dikeluarkan badan badminton dunia, BWF di Twitter.
“Salam Tuan. Tidak benar.
Untuk pengetahuan Tuan, entri pemain-pemain ini tidak pernah diluluskan sejajar dengan polisi negara kita.
“Draw (undian) pula dibuat oleh pihak @bwfmedia berdasarkan laporan M&Q (kelayakan minimum) dan juga tidak pernah diluluskan,” balas BAM dalam Twitter hari ini.
Kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 25 hingga 30 Mei dipinda ke tarikh yang belum ditetapkan ekoran pandemik Covid-19.
Svetlana menjadi tumpuan badminton dunia kerana masih mampu bermain secara kompetitif pada usia 63 tahun bergandingan dengan anaknya, Misha, 32.
Pasangan ini merupakan beregu campuran No. 1 Israel yang menghuni ranking ke-141 dunia.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menolak dan mengutuk sebarang kekejaman rejim negara itu terhadap Palestin.