IPOH: Luka Perak bertambah parah apabila tumpas 2-3 kepada Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Perak malam ini.
Bertambah malang, Bos Gaurus juga bakal berdepan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas penyokong membaling suar ke dalam padang pada minit-minit terakhir perlawanan .
Dua jaringan pemain import baharu, Kenjok Athiu dan Aung Kaung Mann membolehkan anak-anak buah Dollah Salleh keluar dari zon penyingkiran.
Jaringan Perak pula disempurnakan oleh Leandro Dos Santos dan Careca.
Aksi babak pertama menyaksikan Perak menguasai 30 minit permainan tetapi gagal menyudahkan peluang yang dicipta.
Pemain import baharu Perak, Nana Poku gagal memanfaatkan tiga peluang keemasan pada minit ketujuh, ke-38 dan ke-41.
Walaupun bermain secara bertahan, Pahang berjaya merobek gawang tuan rumah menerusi Kaung Mann pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua Tok Gajah menyerang bertalu-talu dan menambah derita Perak pada minit ke-57 apabila Athiu merembat dari jarak dekat untuk kedudukan 2-0.
Penalti Dos Santos menghidupkan harapan Bos Gaurus pada minit ke-68, namun Athiu menjaringkan gol ketiga Pahang di minit ke-87 bagi menguburkan impian Perak untuk bangkit.
Careca merapatkan jurang 2-3 pada waktu kecederaan, namun sudah terlambat untuk Perak bangkit.- UTUSAN