JOHOR BAHRU: Kedudukan Negeri Sembilan di takhta Liga Perdana direntap setelah terikat tanpa jaringan ketika berkunjung ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) malam ini.
Sarawak United yang turut beraksi memintas skuad bimbangan K. Devan selepas menewaskan Kelantan United 3-2 dengan mengutip 23 mata, satu mata mengatasi skuad The Jangs.
Pasukan pelawat hampir mendapat gol pertama pada minit kelapan menerusi hantaran lintang Bae Beomgeun, namun gagal disudahkan Fahmi Faizal apabila tandukannya melewati palang gol.
JDT II juga hampir memecah kebuntuan pada minit ke-21 apabila hantaran lambung Umar Hakeem Suhar Rezwan gagal ditumbuk keluar oleh penjaga gawang Damien Chien.
Aysar Hadi Mohd. Shapri yang berada di lokasi yang tepat menerima bola itu bagaimanapun tidak mampu meletakkan bola dalam gawang lawan.
Pasukan bimbingan Rafael Sanchez sekali lagi hampir mencipta peluang gol menerusi percubaan Gabriel Nistelrooy Tamin dari jarak dekat namun ketangkasan Damien yang keluar dari posisinya bijak menafikan percubaan lawan.
Bersambung babak kedua, pasukan JDT II dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan pada minit ke-48 setelah Stuart Wilkin yang membuat larian solo dari tengah padang dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti.
Kapten, Irfan Fazail yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu berjaya menewaskan penjaga gawang tetapi sepakannya sekadar terkena tiang gol.
Penyerang import Negeri Sembilan, Alain Thierry Akono Akono hampir menghadiahkan gol tunggal buat pasukan namun percubaannya pada minit ke-70 sedikit tersasar.
Kedua-dua pasukan membuat pertukaran bagi memburu gol kemenangan dan silih berganti melakukan serangan ke gawang lawan bagaimanapun tiada jaringan direkodkan.