PETALING JAYA: Selepas memperoleh mata pertama musim ini, motivasi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kini melonjak ke tahap terbaik apabila menamatkan sesi ujian di Litar Catalunya, Barcelona di tempat ke-10 kelmarin.
Pencapaian tersebut diraih selepas pasukannya, NTS RW Racing GP telah membuat beberapa perubahan pada jentera Hafizh dengan memasukkan komponen baharu menjelang perlumbaan berikutnya di Grand Prix (GP) Itali.
Sejak awal musim lalu, pasukan berpangkalan dari Belanda itu terpaksa menggunakan spesifikasi mesin 2019 setelah ia dibekukan untuk saingan 2020 dan 2021.
Mereka perlu akur biarpun pada waktu itu, NTS RW Racing GP sudah mula menghasilkan komponen baharu untuk saingan 2020.
Bagaimanapun baru-baru ini, peraturan teknikal Moto2 telah membenarkan mereka menggunakan fender depan musim 2020, termasuk reka bentuk fairing utama.
“Sesi ujian tamat! Terima kasih kepada pasukan. Hampir 120 pusingan dalam tempoh satu hari setengah. Ayuh ke Mugello.
“Kami mampu lakukannya dalam satu kumpulan,” kata Hafizh menerusi Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 Pescao, semalam menjelang GP Itali di Litar Mugello hujung bulan ini.
Sementara itu, pengurus pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Jansse mengucapkan syabas kepada bekas pelumba MotoGP itu atas usaha mempamerkan peningkatan bagi saingan musim ini.
“Terima kasih Hafizh atas usaha hebat anda hari ini. Kami semakin kuat dan kuat. Ayuh ke Mugello,” ujarnya.