Permainan JDT semakin mudah dibaca lawan
PETALING JAYA: Lawan ‘naik hantu’ setiap kali bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) atau permainan Harimau Selatan semakin mudah dibaca?
Itu persoalan yang menyelubungi juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, JDT selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City kelmarin, seminggu selepas tumpas 0-1 kepada Terengganu.
Pengendali JDT, Benjamin Mora sebelum ini pernah berkata, kebanyakan pasukan akan memberi persembahan ‘luar biasa’ atau ‘naik hantu’ setiap kali berdepan Harimau Selatan kerana mahu mengalahkan mereka.
Bagaimanapun keputusan seri dengan skuad The City Boys mendedahkan, taktikal sama yang digunakan oleh Mora dalam hampir setiap perlawanan sebenarnya faktor lawan mudah membaca permainan mereka.
Biarpun memiliki barisan pemain bintang, namun penggunaan tenaga pemain tidak maksimum apabila dalam 11 perlawanan setakat ini, Mora dilihat suka menurunkan ‘muka sama’ dalam kesebelasan utama.
Taktikal sama juga digunakan dalam semua perlawanan, selain lambat membuat pertukaran pemain.
Itu membuatkan lawan ‘lali’ dengan permainan JDT dan mungkin kejuaraan tujuh kali yang dimenangi terlalu lama hingga membuatkan Harimau Selatan terlalu selesa.
Jadual perlawanan yang padat pada musim 2021 dan JDT sebagai pasukan yang menerapkan permainan intensiti tinggi, sudah pasti kepenatan.
“Kita tidak boleh jadi seperti ‘Superman’. Semua pasukan dalam dunia, kadangkala ada pasang surutnya.
“Kami tetap fokus dan cuba untuk bangkit. kami masih berada di kedukan teratas liga dan harap dapat kekal serta terus berusaha kuat,” ujar Mora.
Pengendali dari Mexico itu turut memuji KL City yang memberi cabaran sengit kepada anak-anak buahnya.
“Perlawanan yang sengit tetapi KL City beri cabaran dan permainan mereka tersusun. Namun kami turut mencipta peluang dan bermain seperti biasa,” jelasnya.