LE MANS: Pelumba Ducati, Jack Miller berupaya mengharungi perlumbaan dalam suasana hujan untuk muncul juara dalam saingan MotoGP pada Grand Prix (GP) Perancis sebentar tadi.
Perlumbaan di litar Le Mans itu yang turut dibayangi pelbagai insiden kemalangan susulan trek yang licin menyaksikan Miller unggul dengan catatan masa 47 minit 25.473 saat.
Ini kemenangan kedua berturut-turut buat Miller selepas menakluk GP Sepanyol di Litar Jerez pada 2 Mei lalu.
Dua pelumba tuan rumah, Johann Zarco dari Pramac Racing dan Fabio Quartararo (Yamaha), yang memulakan perlumbaan dari petak pertama menamatkan saingan di tangga kedua serta ketiga.
Miller yang memulakan perlumbaan di petak ketiga, turut muncul pelumba Australia pertama untuk memenangi perlumbaan secara berturut-turut selepas Casey Stoner pada 2012.
Dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat menyaksikan juara bertahan, Joan Mir, juara dunia enam kali Marc Marquez, Miguel Oliveira dan Alex Rins gagal menamatkan perlumbaan.- AGENSI