Mickelson pemain tertua raih kejuaraan utama dunia - Utusan Malaysia

Mickelson pemain tertua raih kejuaraan utama dunia

PHIL Mickelson meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan PGA di Pulau Kiawah hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU KIAWAH, SOUTH CAROLINA:  Bintang veteran Amerika Syarikat (AS), Phil Mickelson muncul pemain tertua merangkul kejuaraan golf utama dunia selepas menjuarai Kejohanan PGA dengan kelebihan dua pukulan hari ini.

Berusia 50 tahun, pemain kidal yang berasal dari San Diego, California itu mengesahkan gelaran utama keenam selepas menutup kejohanan dengan mengumpul 282 pukulan, enam bawah par untuk mengenepikan pencabar rapat yang juga juara Terbuka Britain 2010, Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan. 

Kemenangan membolehkan Mickelson membawa pulang hadiah utama AS$2.1 juta (RM8.69 juta) dan ia kejayaan paling epik pada usianya selepas menampilkan persembahan hebat di Pulau Kiawah ketika pemain yang lebih muda mula merudum.

“Ia hari yang menakjubkan dan paling saya hargai sepanjang hidup,” kata Mickelson.

Mickelson memadam rekod kemenangan pada usia paling tua milik rakan senegaranya, Julius Boros yang memenangi Kejohanan PGA 1968 di usia 48 tahun.

“Sukar untuk gambarkan perasaan dan rasa gembira berjaya memenangi pencapaian besar seperti ini, terutama ketika hanya sebilangan kecil merasakan saya mampu melakukannya,” kata Mickelson.

Mickelson mencatat satu atas par 73 pada hari terakhir, namun aksi cemerlang sepanjang tiga pusingan awal sudah memadai buatnya bergelar juara sekali lagi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya