MELAKA: Melaka United mengambil keputusan drastik menamatkan kontrak dua pemain import mereka ekoran persembahan kurang mantap sepanjang beraksi dalam 13 perlawanan Liga Super.
Dua pemain yang disingkirkan ialah penyerang tinggi lampai, Stefan Nikolic dari Montenegro dan penyerang Brazil, Alex Goncalves.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Shaiful Md. Saperi berkata, kedua-dua gagal menyerlah untuk mencipta jaringan sejak awal musim hingga perlawanan terakhir berdepan Petaling Jaya )PJ) City, Ahad lalu.
Menurutnya, Nikolic dan Goncalves sudah dimaklumkan mengenai keputusan kelab untuk menamatkan kontrak mereka.
“Kekosongan itu akan diisi dua penyerang dari Brazil. Salah seorang pemain telah berada di Malaysia dan sedang menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.
“Seorang lagi dijangka tiba di ibu negara tidak lama dalam masa terdekat kerana terlibat dengan aksi dalam sebuah liga di Brazil.
“Dia juga perlu menjalani kuarantin di Kuala Lumpur terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, kedua-dua pemain dari Brazil itu akan memperkukuhkan jentera serangan yang jelas tumpul sejak awal musim lalu.
Mengenai nasib tiga lagi import, pertahanan dari Korea Selatan, Jang Sukwon, Sony Norde (Haiti) dan pemain tengah kebangsaan Filipina, Manuel Ott, mereka masih mendapat kepercayaan untuk kekal di Melaka.
Mengulas mengenai kedudukan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta dua pembantunya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas pengurusan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, Melaka United tidak puas hati dengan mutu persembahan skuad Sang Kancil sepanjang musim ini.
Daripada 13 perlawanan, mereka sekadar mencatat tiga kemenangan. Selebihnya kalah lima kali dan seri lima, sekali gus menghuni tangga kedua tercorot.
Kata Shaiful, sesuatu perlu dilakukan untuk merombak pasukan itu bagi memastikan mereka tidak turun ke Liga Perdana apabila kempen Liga Super bersambung semula Julai ini.
“Kita akan bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri dan memuktamadkan sama ada perlu atau tidak untuk memecat Zainal.
“Tidak dinafikan kedudukan Melaka begitu mencemaskan jika sesuatu tidak dibuat,” ujarnya.