MANCHESTER: Liverpool mendapat nafas baharu dalam pemburuan kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan Manchester United 4-2 di Old Trafford hari ini.
Dua jaringan Roberto Firmino dan satu gol menerusi Diogo Jota serta Mohamed Salah membolehkan Reds naik ke tangga kelima liga dengan 60 mata, empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.
Liverpool juga memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan kerana aksi menentang United adalah perlawanan tertunda yang sepatutnya diadakan 2 Mei lalu, tetapi dibatalkan akibat protes anti-Glazer.
Ini adalah kemenangan pertama buat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp di Old Trafford.
United bermula langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit ke-10 apabila rembatan Bruno Fernandes terkena pertahanan lawan, Nathaniel Phillips dan menerjah ke gawang Liverpool.
Reds yang sebelum itu dinafikan sepakan penalti oleh pengadil, Anthony Taylor bagaimanapun menunjukkan tindak balas cemerlang apabila Jota meledak gol penyamaan di minit ke-34 menerusi kuisan cantik.
Tiga minit memasuki waktu kecederaan babak pertama, tandukan Firmino berjaya meletakkan Reds di depan.
Sebaik saja separuh masa kedua bersambung, Firmino menambah gol kedua peribadi pada minit ke-47 untuk kedudukan 3-1.
Liverpool berpeluang menambah gol keempat, namun tendangan Jota terkena palang, sebaliknya Marcus Rashford meledak gol ke-50 di Old Trafford untuk merapatkan jurang 2-3 buat Red Devils.
Ketika permainan hanya menunggu masa untuk ditamatkan, Salah ‘membunuh’ sebarang usaha United untuk bangkit apabila meledak gol keempat Liverpool di minit ke-90.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat United selepas tumpas 1-2 kepada Leicester City, Rabu lalu.