Liverpool akhirnya keluar dari 'mimpi ngeri' - Utusan Malaysia

Liverpool akhirnya keluar dari ‘mimpi ngeri’

SADIO MANE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Dua jaringan Sadio Mane membantu Liverpool menumpaskan Crystal Palace 2-0 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris sebentar tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara selaku pasukan tangga ketiga.

Chelsea bernasib baik turut mengesahkan slot ke kejuaraan kelab elit Eropah itu biarpun tumpas 1-2 kepada Aston Villa selepas pesaing rapat mereka, Leicester City kalah 2-4 kepada Tottenham.

Leicester yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Piala FA buat kali pertama kini akan beraksi dalam Liga Europa bersama West Ham yang menamatkan kempen di tangga keenam selepas menumpaskan Southampton 3-0 di Stadium London.

Beraksi di depan 10,000 penonton di Anfield, Reds beraksi dengan penuh bersemangat untuk mencatat kemenangan kelapan daripada 10 perlawanan terakhir.

PEMAIN Liverpool meraikan jaringan Sadio Mane (tengah).

Selepas dihimpit krisis kecederaan pada pertengahan liga dan beberapa kali terkeluar dari kelompok utama, kejayaan ini sesuatu yang amat bermakna buat anak-anak buah Jurgen Klopp yang menjuarai Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun musim lalu.

Ketika Liverpool mengalahkan Palace 7-0 pada Disember lalu, mereka menerajui liga dengan kelebihan lima mata.

Begitupun enam kekalahan berturut-turut di laman sendiri, situasi terburuk pernah dialami Reds dalam sejarah kelab, selain hanya memenangi tiga daripada 14 perlawanan menyebabkan pasukan itu jatuh ke tangga kelapan.

Tiga pertahanan tengah, Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip diketepikan hampir sepanjang musim menyebabkan Klopp terpaksa menurunkan gandingan kurang berpengalaman, Nat Phillips dan Rhys Williams.

Liverpool akhirnya berjaya mengatasi kepincangan benteng pertahanan dengan mengutip 26 daripada 30 mata terakhir yang ditawarkan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat musim kelima berturut-turut.

Nyanyian penuh emosi You’ll Never Walk Alone dari bangku penonton membangkitkan semangat Reds yang membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi tolakan Mane, sebelum bintang Senegal itu menambah gol kedua di minit ke-74.

Bagaimanapun, kegagalan Mohamed Salah meledak gol dalam aksi terakhir penuh dramatik itu menyebabkan bintang penyerang Mesir tersebut terlepas anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana dengan satu gol di belakang Harry Kane yang meledak 24 gol keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya