PARIS: Kemenangan 2-1 ke atas Angers pagi tadi membolehkan Lille merangkul kejuaraan Ligue 1 buat kali pertama sejak 2011, sekali gus menamatkan dominasi Paris Saint-Germain (PSG) yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara biarpun melakukan apa saja yang terdaya pada hari terakhir liga.
PSG melakar kemenangan 2-0 di Brest, namun tewas kepada Lille menerusi satu mata selepas mengharungi 38 perlawanan yang penuh drama dan sengit.
Jaringan awal Jonathan David dan sepakan penalti yang disempurnakan Burak Yilmaz pada babak pertama memastikan skuad kendalian Christophe Galtier itu melakar kemenangan paling gemilang dalam tempoh sedekad.
Perlawanan berlangsung secara tertutup akibat pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang penyokong membanjiri jalan raya di Lille bagi meraikan kejayaan itu.
Penyokong menyalakan suar dan menyanyi di Place Charles de Gaulle, bandar selatan Perancis bagi meraikan kejayaan bersejarah menewaskan PSG, lawan yang lebih kaya dan gah.
“Ia sangat menakjubkan. Musim yang panjang dan banyak tekanan akhirnya tiba di penghujung.
“Berjaya menewaskan Paris Saint-Germain untuk merangkul gelaran Ligue 1 adalah sesuatu yang luar biasa.
“Pemain menakjubkan… pujian harus diberikan kepada pemain, mereka adalah hero,” kata Galtier kepada Canal+. – AGENSI