KUALA NERUS: Pemain kelahiran Halifax, England, Lee Tuck tidak akan melepaskan peluang untuk menyarung kembali jersi Terengganu FC jika khidmatnya diperlukan.
Tuck berkata, situasi ketika ini memaksanya mencari destinasi baharu susulan perubahan dibuat Sri Pahang dan menganggap kekosongan kuota pemain import Sang Penyu sebagai berita baik.
Katanya, fokusnya kini adalah untuk segera kembali ke padang bersama pasukan lain selepas musim yang tidak menentu bersama skuad Tok Gajah.
“Saya gembira mendengar komen jurulatih, Mohd. Nafuzi tempoh hari, ya, kami tahu corak permainan masing-masing dan jika ada peluang untuk kembali,sudah tentu saya berminat.
“Tetapi saya harus tunggu dan lihat apa yang ingin dilakukan Sri Pahang untuk melepaskan saya sebagai pemain pinjaman,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Tuck antara calon terbaik yang dibayangkan Mohd. Nafuzi bagi memperkuatkan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua.
Turut berada dalam senarai Sanjar Shaakhmedov yang kini mewakili AGMK dalam Liga Uzbekistan dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Khidmat pemain import menjadi buruan Sang Penyu berikutan kecederaan jangka panjang Petrus Shitembi dan pemain Australia, Chris Herd yang mengalami kecederaan lutut.