Kemelut sepak takraw makin parah - Utusan Malaysia

Kemelut sepak takraw makin parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut sepak takraw negara makin parah selepas Kedah muncul ahli gabungan keempat bertindak keluar dari Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan tersebut diputuskan oleh Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK) menerusi sepucuk surat yang dihantar presidennya, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kepada Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz bertarikh hari ini.

Menurut Syed Unan Mashri, keputusan diambil selepas mereka hilang keyakinan terhadap kredibiliti PSM sebagai badan induk di peringkat kebangsaan.

Katanya, PSM gagal menjelaskan situasi sebenar mengenai apa yang berlaku antara badan induk itu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) kepada ahli gabungannya.

“Sebagai anggota gabungan, PESTAK menyokong penuh segala aktiviti yang dilaksanakan PSM selama ini dan memberi kerjasama demi pembangunan sukan sepak takraw negara.

“Perkembangan mutakhir ini amat mendukacitakan dan langkah PSM dalam menangani isu semasa menampakkan kegagalannya sebagai ahli gabungan ASTAF.

“Sehubungan itu, PESTAK dengan mandat ahli gabungannya mengambil keputusan menarik diri daripada ahli gabungan PSM demi mengembalikan martabat dan pembangunan sukan sepak takraw di setiap peringkat,” katanya.

PESTAK menjadi ahli gabungan keempat mengumumkan keluar dari PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Selangor (PSS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN