Kedah, Terengganu ‘sakit kepala’ - Utusan Malaysia

Kedah, Terengganu ‘sakit kepala’

PENUNDAAN Piala AFC pasti memberi masalah buat Kedah yang sepatutnya beraksi dalam Kumpulan H.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terengganu FC dan Kedah mungkin perlu menunggu lebih lama untuk beraksi dalam Piala AFC selepas Singapura menarik diri sebagai tuan rumah peringkat kumpulan bagi zon ASEAN hujung bulan depan menyebabkan kejohanan berisiko ditunda.

Ini kali kedua Piala AFC ditunda gara-gara pandemik Covid-19, dan memaksa badan bola sepak Asia mencari venue baharu menggantikan Singapura.

Aksi Kumpulan H yang dianggotai Kedah, Lion City Sailors (Singapura), Saigon (Vietnam) dan Persipura Jayapura (Indonesia) sepatutnya diadakan dari 22 hingga 28 Jun tetapi ditunda kepada 29 Jun hingga 5 Julai.

Perlawanan Kumpulan I yang dibarisi Terengganu bersama Kaya–Iloilo (Filipina), Geylang International (Singapura) dan satu lagi pasukan yang belum diputuskan sepatutnya berlangsung dari 30 Jun hingga 6 Julai.

“Kita dapat surat semalam (kelmarin, penarikan diri Singapura) dan hari ini (semalam) atau Isnin, AFC akan buka tawaran kepada mana-mana pasukan atau negara lain yang bersedia menjadi tuan rumah namun perlu memenuhi kriteria seperti tiada kuarantin.

“Mencari tuan rumah bukan senang dalam keadaan pandemik kerana kebanyakan negara ASEAN masih berdepan kes Covid-19 yang tinggi tapi kita akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan perkara ini.

“Jika gagal dapat venue baharu, kemungkinan kejohanan terpaksa ditunda tapi tidak boleh terlalu lama…mungkin dalam tempoh sebulan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John kepada Utusan Malaysia semalam.

PROGRAM latihan Terengganu FC ketika ini tertumpu kepada persiapan menghadapi Piala AFC yang sepatutnya berlangsung hujung bulan depan.

Sementara itu, pengurus Terengganu FC (TFC), Zul Fadli Rozi berharap, jika terpaksa berdepan penundaan, ini kali terakhir perkara itu berlaku kerana situasi tersebut memberi kesan kepada jadual perlawanan pasukannya dalam Liga Super.

“Kita faham keadaan Covid-19 yang menyebabkan perkara ini berlaku cuma ia menjejaskan dari segi perancangan Terengganu kerana latihan kami banyak tertumpu kepada persiapan menyiapkan pasukan untuk menghadapi kejohanan hujung Jun,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Darulaman FC, Khamal Idris Ali pula berharap AFC dapat menyelesaikan masalah tersebut tanpa perlu menunda kejohanan kerana bimbang ia akan menjejaskan kempen pasukan dalam liga domestik.

“Kami menyerahkan kepada pihak AFC untuk memutuskan venue baharu dan sebagainya, namun kalau kejohanan ditunda, dari segi jadual Liga M ia akan terganggu dan menjadi padat,” katanya.

KAPSYEN
PROGRAM latihan Terengganu ketika ini tertumpu penuh kepada persiapan Piala AFC hujung bulan depan dan penangguhan kejohanan bakal memberi kesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya