JEREZ: Juara MotoGP dunia enam kali, Marc Marquez mengalami masalah ‘kurang kekuatan’ dan bergelut pada sesi latihan bebas Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez malam tadi.
Penunggang Honda itu kembali ke litar yang menyaksikannya dia mengalami kemalangan, sekali gus menamatkan kempen tahun lalu selepas hanya menyertai satu perlumbaan.
Pelumba Sepanyol itu yang menjalani empat pembedahan tangan kanan dan terlepas dua pusingan pertama musim ini, menamatkan sesi latihan bebas dengan catatan masa ke-16 terpantas.
“Pada sesi pertama saya dapat menunggang jentera seperti biasa, namun pada sebelah petang saya rasa sesuatu yang tidak kena di tempat saya menjalani pembedahan.
“Saya rasa kurang kekuatan di bahagian itu. Kedudukan saya di atas motor tidak sama lagi. Ia sesuatu yang saya tidak faham kerana kali pertama berlaku.
“Saya cuba untuk tidak mahu terlalu tertekan dan akan melihat perkembangan seterusnya selepas ini.
“Di Portimao, saya juga berasa tidak selesa sejak Jumaat sehingga Ahad, jadi saya akan cuba mengekalkan keadaan fizikal sepanjang minggu ini.
“Matlamat utama saya adalah menamatkan perlumbaan dengan keadaan yang baik,” kata Marquez.
Marquez, 28, menduduki tangga ketujuh ketika membuat kemunculan pertama sejak pulih daripada kecederaan pada Grand Prix Portugal di Portimao, 18 April lalu. – AFP