KEPALA BATAS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) lebih selesa untuk mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam konflik yang membabitkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya tidak akan sesekali mencampuri urusan tersebut memandangkan masih berada dalam proses perundangan buat masa ini.
“Apa yang saya boleh katakan PSM masih sebuah persatuan sukan yang sah dan apa yang terjadi kepada Presiden mereka (Datuk Seri Ahmad Ismail) ketika ini tidak akan merencatkan aktiviti persatuan berkenaan.
“Mengenai tindakan yang akan diambil oleh Astaf terhadap mereka pula, biarlah proses (perundangan) yang berkaitan selesai dulu.
“Ini adalah situasi yang biasa berlaku kepada badan-badan sukan di peringkat kebangsaan dan dunia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai situasi tegang yang melanda kedua-dua badan induk sepak takraw itu ketika ini.
Rabu lalu, Astaf menggantung PSM daripada sebarang aktiviti sepak takraw kerana kegagalan Ahmad memberi jawapan terhadap empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dalam tempoh 14 hari.
Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat berkata, tindakan itu diambil kerana PSM gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan badan induk Asia itu dan bakal dikenakan hukuman termasuk penggantungan seumur hidup.
Dalam perkembangan sama, Reezal Merican mengulangi pendirian pihaknya untuk tidak masuk campur dalam urusan membabitkan PSM selagi isu tersebut tidak diselesaikan di peringkat yang sepatutnya.
“Bagaimanapun, sebagai sebuah kementerian yang menjaga kepentingan pembangunan sukan di negara ini, KBS akan terus memantau perkembangan isu ini secara lebih dekat,” katanya.