PETALING JAYA: Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang dibuka Isnin ini dijangka hambar ekoran langkah penjimatan yang diambil kebanyakan pasukan akibat pandemik Covid-19.
Lima kelab tercorot Liga Super – UiTM FC, Sri Pahang, Perak, Sabah dan Melaka United mahu memanfaatkan sepenuhnya tempoh perpindahan bagi mendapatkan beberapa pemain baharu dalam usaha memperbaiki kedudukan.
Begitupun dengan kewangan terhad, tiada pembelian ‘mega’ atau perpindahan mengejut dijangka berlaku dalam tempoh sebulan.
Selangor yang amat aktif pada jendela pertama mungkin tidak terlibat dalam pasaran jual beli pemain kali ini, begitu juga Kedah.
“Buat masa ini tiada (rancangan menukar pemain import atau tempatan) tapi kita harap pemain sedia ada dapat meningkatkan prestasi kerana masalah Selangor sekarang adalah tidak konsisten,” kata pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid kepada Utusan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Kamal Idris Ali berkata, mereka akan meneruskan kempen dengan skuad sedia ada kerana pertukaran pemain bermakna peningkatan kos.
“Kalau ikutkan memang tiada (pertukaran) tapi kita akan lihat prestasi selepas perlawanan ke-13 bertemu Sabah sebelum liga berehat hingga awal Julai.
“Kalau semua cantik (prestasi baik) kita kekal, kalau tidak kita duduk bincang,” ujarnya.
Melaka dan Pahang tidak menolak melakukan rombakan selepas mempamer aksi lesu dalam 10 perlawanan pertama.
“Kecenderungan (tukar pemain) memang ada dan ia akan diputuskan pengurusan tertinggi,” kata CEO Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.
Melaka pula sudah meluluskan bajet tambahan bagi membawa masuk pemain baharu.