ALICE TAK TINGGAL PUASA
WALAUPUN bukan beragama Islam, namun bekas kapten skuad sepak takraw wanita negara, Alice Harun turut menjalani ibadah puasa.
Tahun ini tahun ke-10 gadis kelahiran Sabah itu berpuasa sebulan.
“Pengalaman tidak akan saya lupakan ialah pada 2013, kali pertama datang Kuala Lumpur dan puasa penuh bersama pasukan sepak takraw.
“Walaupun saya bukan muslim tapi sudah menjadi kebiasaan untuk saya berpuasa,” kata Alice yang juga adik kepada bekas bintang bola sepak kebangsaan, Ronny Harun.
Menurut Alice, 28, setiap tahun dia akan meraikan Hari Raya kerana mempunyai ramai rakan-rakan beragama Islam.
Bagaimanapun raya kali ini, dia sedih tidak dapat meraikannya disebabkan PKP.
“Ingat boleh pergi beraya rumah kawan-kawan tetapi tidak boleh, jadi saya pilih duduk di rumah. Makanan pun buat pesanan sahaja tidak masak sendiri,” katanya.
FARIHA TAK BELI BAJU RAYA
FARIHA Razak bukan saja popular dan hebat di gelanggang bola jaring, malah sudah bergelar instafamous kerana memiliki pengikut yang ramai di Instagram.
Biarpun suka bergaya dan sering tampil berpakaian cantik, namun pada sambutan Hari Raya kali ini dia memilih untuk tidak membeli baju baharu.
Kata atlet kelahiran Johor Bahru itu, dia hanya memakai baju sedia ada kerana tidak pulang ke kampung.
“Persiapan raya tahun ini serba sederhana sebab raya PKP, jadi mungkin pakai baju-baju tahun sebelum ini sahaja.
“Beza tahun ini tak boleh nak beraya di kampung, selalu memang semua keluarga akan balik berkumpul dekat rumah nenek di Kota Tinggi tapi Alhamdulillah masih boleh beraya dengan keluarga di rumah sendiri,” kata atlet berusia 26 tahun itu.
Mengimbau kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan setiap kali menyambung raya, atlet tinggi lampai itu berkata, ‘kemalangan kecil’ ketika zaman kanak-kanak meninggalkan kesan sehingga hari ini.
“Main bunga api dan mercun ketika kecil. Masa tu main mercun gasing, dia berpusing sampai naik atas kaki. Hingga sekarang ada bekas,” katanya.
RINDU ABAH SETIAP KALI TIBA HARI RAYA
KERINDUAN Norhalizah terhadap arwah bapa, Hamzah Leman bagaikan tiada penghujung, terutama setiap kali tiba Hari Raya.
Lebih dikenali sebagai Lily oleh peminat sukan tanah air, pengacara comel Astro Arena ini berkata, kehilangan Abah membuatkan sambutan Hari Raya keluarganya berbeza berbanding ketika arwah bapanya masih ada.
“Saya boleh cakap persiapan yang sangat sederhana, ekoran pelaksanaan PKP di seluruh negeri di Malaysia.
“Sebenarnya setiap kali tiba raya pasti saya berasa sedih kerana dua tahun berturut-turut tanpa arwah Abah namun tetap bersyukur masih ada di samping keluarga.
“Kenangan indah, pastinya beraya di kampung Melaka dan Terengganu.
“Lepas itu rutin saya dan kawan baik akan berjalan merentas negeri singgah ke kampung-kampung mereka untuk nikmati juadah berbeza dari negeri ke negeri,” ujar penyampai berita Nadi Arena berusia 27 tahun itu.
RAYA SURAM TANPA ATUK
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri kali ini sedikit suram buat bekas bintang boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi kerana kehilangan datuk tercinta.
Lebih mesra disapa Fifah, pelaksanaan PKP dan peningkatan kes Covid-19 juga menyebabkan perayaan disambut sederhana.
“Sedih tahun ini, atuk kesayangan Fifah dah tiada, tahun lepas sempat beraya dengan arwah.
“Persiapan raya sederhana, hanya meraikan bersama keluarga di sini (Kuala Lumpur),” kata Afifah yang kini beralih arah menjadi pengacara Astro Arena dan bergelar pelakon dalam drama Ratu Tenpin.