JDT bukan 'Superman' - Utusan Malaysia

JDT bukan ‘Superman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Benjamin Mora menegaskan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan ‘Superman’ selepas Harimau Selatan sekali lagi keciciran mata malam tadi.

Selepas kalah 0-1 kepada Terengganu minggu lalu, JDT gagal kembali ke landasan kemenangan apabila diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Liga Super.

Mora berkata, seperti kelab lain, ada kala pasukannya juga berdepan masalah kemarau kemenangan.

“Masih ada perlawanan untuk diharungi, kami mungkin dapat mengekalkan kedudukan pertama dengan terus bekerja keras, bahkan lebih keras lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

BENJAMIN MORA

Sabtu lalu, Terengganu menjadi kelab pertama mengalahkan JDT selepas 21 perlawanan apabila menang 1-0 menerusi jaringan Mohamad Hakimi Abdullah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah juara bertahan liga itu sejak Julai 2019.

Mora juga mengakui kagum dengan corak permainan skuad The City Boys bimbingan Bojan Hodak yang mendahului perlawanan menerusi Romel Morales pada babak pertama.

Begitupun jaringan ketua pasukan, Harris Harun pada minit ke-55 memastikan JDT tidak dimalukan buat kali kedua berturut-turut.

Sementara itu, Hodak menyifatkan keputusan seri pencapaian yang baik kerana mereka berdepan kelab terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M).

Begitupun, dia percaya KL City sepatutnya boleh memenangi perlawanan jika berjaya memanfaatkan beberapa peluang terhidang.

JDT kekal menerajui liga dengan mengumpul 24 mata daripada 11 perlawanan, satu mata mengatasi Kedah yang mengalahkan Melaka 3-1 malam tadi.

Terengganu berpeluang mengikat kedudukan dengan JDT jika menewaskan Penang FC di laman sendiri malam ini.

Selepas mengharungi 10 perlawanan Terengganu kini menghuni tangga ketiga dengan 21 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya