'Jangan sia-siakan pengorbanan Haziq’ - Utusan Malaysia

‘Jangan sia-siakan pengorbanan Haziq’

LEE CHONG WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih terkejut dengan pemergian Haziq Kamaruddin, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan ­Olimpik, Datuk Lee Chong Wei menyeru atlet negara menyerap semangat pemanah negara itu dan memburu pencapaian ter­tinggi di Tokyo.

Kata legenda badminton negara itu, dalam situasi pandemik Covid-19, pengorbanan Haziq dan semua atlet negara, terutama yang dalam persiapan menghadapi Olimpik amat luar biasa.

“Sehingga hari ini saya masih terkejut dengan pemergiannya kerana dia masih muda dan tiada sejarah penyakit kronik.

“Lebih memilukan, dia pergi ketika umat Islam sedang me­nyambut Hari Raya Aidilfitri. Dia tidak boleh balik ke kampung di Johor, hanya dapat jumpa isteri sekejap (di Hari Raya).

“Dia telah banyak berkorban dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik, jadi saya harap semua atlet negara yang bakal beraksi di Tokyo, jangan sia-siakan pe­ngorbanan Haziq, serap sema­ngatnya dan jadikan ia motivasi untuk memburu kejayaan.

“Lakukan yang terbaik, catat pencapaian paling tinggi untuk dihadiahkan kepada Allahyarham serta keluarganya yang juga banyak berkorban,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia semalam.

HAZIQ KAMARUDDIN

Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Olimpik turut kesal apabila orang ramai mengaitkan punca kematian Haziq dengan pengambilan vaksin Covid-19.

Katanya, penularan berita tidak betul hanya menimbulkan keresahan buat kontinjen negara, malah tidak membantu ketika pandemik masih mengganas.

“Lepas itu kecoh di media sosial orang kata tentang vaksin (punca kematian), saya minta jangan sebar perkara tidak betul.

“Jaga hati keluarga Arwah dan pada masa sama, atlet negara juga dalam keresahan (peningkatan kes Covid-19), jangan tambah tekanan tidak perlu,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada bukti menunjukkan kematian Haziq mempunyai kaitan dengan pengambilan vaksin.

Bedah siasat menunjukkan kematian berpunca daripada komplikasi salur darah jantung tersumbat.

Haziq yang genap 28 tahun pada 4 Julai ini adalah anggota skuad memanah recurve kebangsaan sejak 10 tahun dan pernah beraksi dalam Olimpik 2012 di London serta Rio 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya