IPOH: Perak FC melantik Ishsam Shahruddin dan Azman Noh ebagai pengurus pasukan Liga Super, Perak dan Perak II dalam Liga Perdana bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pelantikan mereka yang berkuat kuasa serta merta diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali, semalam.
Ishsam, 55 adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Perak (PBMP), manakala Azman Noh, 44 pula Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung.
Rizal berkata, pelantikan kedua-dua individu itu bagi membantu pasukan mengharungi baki saingan liga musim ini.
“Mengikut peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) seorang CEO tidak boleh menjadi pengurus pasukan.
“Semoga kehadiran kedua-dua pengurus baharu ini dapat membantu pasukan bola sepak Perak FC kekal bersaing serta mencapai kejayaan dalam Liga Super dan Perdana,” katanya hari ini.
Ishsam dilantik berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemain bola sepak Perak dan pernah mewakili pasukan Malaysia B.
Azman, 54, pula seorang bekas guru yang mempunyai banyak pengalaman di dalam bidang pengurusan bola sepak.
Kedua-dua mereka juga pernah menjadi penolong pengurus Bos Gaurus sebelum ini
Ketika ini pasukan Perak menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan sembilan mata daripada 10 perlawanan, manakala Perak II pula di tempat kembilan Liga Perdana juga dengan sembilan mata selepas 10 perlawanan.