MADRID: Zinedine Zidane mendedahkan dia meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid minggu lalu kerana berasakan gergasi bola sepak Sepanyol itu tidak lagi meyakini dirinya.
Legenda bola sepak Perancis dan Real itu membuat pengakuan tersebut dalam satu surat terbuka yang ditujukan kepada peminat hari ini.
“Saya pergi (tinggalkan kelab) kerana saya merasakan kelab tidak lagi percayakan saya dan tidak menawarkan sokongan untuk saya membina sesuatu dalam jangka sederhana mahupun panjang.
“Saya lahir sebagai juara dan saya berada di sini untuk memenangi piala, namun apa yang lebih penting daripada ini adalah terdapat manusia, emosi mereka, kehidupan dan saya merasakan perkara ini tidak dihargai.
“Mereka gagal memahami bahawa semua perkara ini turut mambantu mengekalkan dinamik kelab hebat ini. Sampai satu tahap, saya malah ditegur kerana perkara itu.
“Semua yang saya bina setiap hari, apa yang saya berikan demi hubungan dengan pemain…sudah dilupakan. Saya pergi tetapi saya tidak melompat dari kapal dan saya tidak penat dengan bidang kejurulatihan,” tulisnya dalam surat yang disiarkan oleh akhbar sukan harian, AS.
Buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun, Real menutup musim ini tanpa sebarang trofi, keputusan yang sukar diterima oleh kelab gergasi yang sudah merangkul 13 kejuaraan Eropah dan 34 gelaran La Liga.
Memasuki musim 2020/2021 sebagai juara bertahan, skuad Los Blancos bagaimanapun menutup kempen selaku naib juara di belakang jiran mereka, Atletico Madrid, selain tewas kepada Chelsea pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
Lebih memburukkan keadaan, tiada seorangpun pemain Real disenaraikan dalam skuad Sepanyol ke Kejohanan Eropah (Euro) terpaksa ketua pasukan paling berpengaruh, Sergio Ramos. – AGENSI