PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) boleh buat apa sahaja yang mereka mahu termasuk memanggil ahli gabungan yang tinggal untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menentukan hala tuju mereka termasuk membubarkan persatuan itu.
Bagaimanapun, 10 ahli gabungan yang sudah meninggalkan badan induk sukan tradisional negara itu tetap dengan keputusan untuk menubuhkan gabungan baharu bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, PSM tidak akan terbatal secara automatik tetapi ada tiga cara untuk menentukan masa depan pertubuhan itu termasuk presiden membuat usul untuk mengadakan EGM.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi PSM boleh membuat usul sama selain dua per tiga ahli gabungan membuat usul untuk mengadakan mesyuarat itu.
“Berdasarkan fasal 20.7 perlembagaan PSM, ada tiga kaedah untuk mengadakan EGM.
Dalam situasi semasa, presiden (Datuk Seri Ahmad Ismail) sudah digantung jadi Timbalan Presiden, Datuk Akramuddin (Abd. Aziz) yang memangku jawatan presiden boleh membuat keputusan itu.
“Kalau diikutkan, 10 ahli gabungan sudah keluar, jadi tinggal lapan tetapi ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dikira sebagai ahli bersekutu sahaja. Terpulang
kepada enam ahli gabungan yang tinggal untuk buat apa sahaja yang mereka suka.
“Kami yang berada di luar ini akan tetap meneruskan misi menubuhkan persatuan baharu bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa untuk Malaysia. Apa guna ada persatuan jika tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Buat masa sekarang hanya enam ahli gabungan masih bersama PSM iaitu Pulau Pinang, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Labuan, manakala PDRM serta ATM hanya dikira ahli bersekutu berdasarkan perlembagaan badan induk itu.
Markiman berkata, pihaknya tidak kisah jika PSM terus wujud selepas ini kerana peranan mereka tidak ubah seperti persatuan biasa sahaja tanpa mendapat sebarang pengiktirafan antarabangsa.
“Sebaik sahaja Astaf menggugurkan PSM, mereka sudah jadi macam persatuan biasa.
“Kalau nak buat program di Malaysia terpulang kepada mereka kerana masih wujud berdasarkan perlembagaan dan di bawah pendaftaran Pesuruhjaya Sukan,” katanya.