MADRID: Sepanyol menggugurkan ketua pasukan, Sergio Ramos daripada skuad Kejohanan Eropah (Euro) 2020, sebaliknya Luis Enrique memanggil Eric Garcia yang kurang pengalaman.
Pengendali pasukan, Luis Enrique menegaskan, pemilihan dibuat berdasarkan minit permainan dan Ramos, 35, yang dibayangi kecederaan musim ini hanya membuat 21 penampilan bersama Real Madrid, termasuk 15 aksi La Liga.
Ramos memegang rekod penampilan terbanyak bersama Sepanyol dengan mengumpul 180 cap dan menduduki tangga kelapan dalam senarai penjaring tertinggi skuad La Roja.
Menurut Enrique, dia telah menghubungi Ramos melalui telefon semalam untuk memaklumkan namanya tiada dalam senarai 24 orang yang dipanggil untuk menghadapi kejohanan dari 11 Jun hingga 11 Julai itu.
It pains me not to have been able to help my team more and not to play for Spain but, in this case, the best thing to do is rest, fully recover and come back next year like we’ve always done. It hurts not to represent your country, but I have to be honest and sincere.
— Sergio Ramos (@SergioRamos) May 24, 2021
“Ia keputusan sukar tetapi ini adalah yang terbaik untuk pasukan,” kata Enrique.
Ramos kecewa dengan keputusan itu tetapi terpaksa menerima hakikat yang dia perlu kembali mencapai tahap kecergasan terbaik.
“Memang menyakitkan kerana tidak dapat membantu pasukan dan bermain untuk Sepanyol tetapi dalam hal ini, perkara terbaik ialah berehat, pulih sepenuhnya dan kembali tahun depan seperti selalu.
“Memang kecewa tidak dapat mewakili negara, tetapi saya perlu jujur dan ikhlas.
Ramos menjalani pembedahan lutut pada Januari dan hanya beraksi dua kali dalam saingan La Liga tahun ini.
SKUAD SEPANYOL
PENJAGA GOL
Unai Simon (Athletic Bilbao), David de Gea (Manchester United), Robert Sanchez (Brighton)
PERTAHANAN
Pau Torres (Villarreal), Aymeric Laporte (Manchester City), Diego Llorente (Leeds United), Eric Garcia (Manchester City), Jordi Alba (Barcelona), Jose Gaya (Valencia), Cesar Azpilicueta (Chelsea)
TENGAH
Sergio Busquets (Barcelona) Rodri (Manchester City), Thiago Alcantara (Liverpool), Pedri (Barcelona), Marcos Llorente (Atletico Madrid), Koke (Atletico Madrid), Fabian Ruiz (Napoli)
SERANGAN
Gerard Moreno (Villarreal), Ferran Torres (Manchester City), Mikel Oyarzabal (Real Sociedad), Alvaro Morata (Juventus), Dani Olmo (RB Leipzig), Pablo Sarabia (Paris Saint-Germain), Adama Traore (Wolverhampton)