Henti kaitkan kematian Haziq dengan pengambilan vaksin - Utusan Malaysia

Henti kaitkan kematian Haziq dengan pengambilan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan segelintir pihak mengaitkan kematian pemanah negara, Haziq Kamaruddin dengan pengambilan vaksin Covid-19 sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau menyeru pihak berkenaan agar berhenti menyebarkan berita yang tidak benar.

“Saya tahu ada pihak cuba mengaitkan kematian Allahyarham dengan pengambilan vaksin.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya mohon tidak sebarkan berita yang tidak benar.

“Saya serta 242 orang atlet termasuklah Allahyarham Haziq turut mengambil vaksin yang sama. Kita beri ruang supaya pihak hospital buat bedah siasat.

“Jangan timbulkan sebarang spekulasi yang tidak wajar. Kita hormati perasaan keluarga Allahyarham juga. Sebarang perkembangan, saya dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan maklumkan kepada semua,” katanya dalam Facebook hari ini.

Pada 14 April lalu, Haziq dan Reezal menjadi sebahagian kumpulan pertama atlet dan pegawai sukan Olimpik serta Paralimpik yang mengambil vaksin Covid-19 dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan.

Kesemua mereka kemudian melengkapkan dos kedua vaksin pada 4 Mei.

Sementara itu, Reezal mengakui masih terkejut dengan pemergian Haziq dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga pemanah berusia 27 tahun itu.

“Sebak dan sayu melihat wajah isteri Allahyarham, Shahira dan keluarga yang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham pada Syawal ke-2 ini.

“Arwah merupakan salah seorang atlet senior daripada kontinjen Malaysia yang telah membawa nama negara ke London pada 2012 dan Rio 2016. Beliau juga penyumbang pingat emas pada Sukan SEA serta pingat gangsa di Kejohanan Memanah World Cup di Salt Lake City pada 2018.

“Allahyarham juga sedang dalam persiapan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 melalui Kejohanan 2021 Hyundai World Cup Archery, Stage 3 dan Final Olympic Qualification Tournament pada 16 Jun 2021 di Perancis.

“Saya secara peribadi serta mewakili seluruh warga KBS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga sukan memanah atas pemergian ini. Ini merupakan masa-masa yang sukar buat keluarga dan saya berharap kita sentiasa memberikan simpati serta empati kita keluarga Allahyarham,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya