Hariss tak jadi ke Portugal untuk bantu JDT - Utusan Malaysia

Hariss tak jadi ke Portugal untuk bantu JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengangkat Hariss Harun yang pernah memakai lilitan kapten Harimau Selatan sebagai legenda kelab tersebut.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, keputusan pemain kelahiran Singapura itu menyertai JDT dan membatalkan hasrat berhijrah ke Portugal telah membantu mereka menjadi pasukan paling berjaya dan berpengaruh di negara ini.

Tunku Ismail berkata, Hariss merupakan pemain pertama yang ditandatangani pada saingan liga musim 2014 setelah menyedari kehadirannya mampu memperkuatkan bahagian tengah JDT.

“Ketika permulaan projek ini pada 2013, saya tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan.

“Saya mula lebih memahaminya pada 2014 dan sedar bahawa kelab ini tidak mempunyai seorang pemain tengah defensif yang menjadi tulang belakang kepada pasukan.

“Saya bertemu pemuda ini dan memberitahu beliau tentang projek saya, aspirasi, serta apa yang tidak lengkap pada kelab dan bertanya seandainya beliau boleh membantu.

“Beliau sudah hampir ke Portugal ketika itu tetapi saya yakinkan beliau ke sini untuk memenangi kejuaraan. Beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers hari ini.

Tunku Ismail memberitahu, Harris yang membuat 165 penampilan bersama JDT  menjadi tulang belakang dan bahagian yang penting dalam kelab berkenaan.

“Pada ketika itu pasukan ini tidak mempunyai apa-apa. Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT telah menjadi sangat berjaya dan Harris telah menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini.

“Hariss, saya secara peribadi dan bagi pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam karier anda.

“Anda sentiasa akan mendapat sokongan saya, sokongan kami dan anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari keluarga JDT, dan seorang legenda JDT,” ujarnya.

Kemasukan Hariss pada 2014 membantu pasukan Harimau Selatan merangkul trofi pertama mereka iaitu Liga Super sebelum meneruskan kegemilangan mempertahankan kejuaraan tersebut sejak detik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya