PETALING JAYA: Bukan saja kesilapan individu perlu diambil kira susulan kekalahan 0-2 kepada Bahrain semalam, malah Harimau Malaya juga harus mengawal emosi ketika di atas padang.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, amat penting untuk pemain tidak hilang fokus dan lebih banyak bersabar biarpun keputusan pengadil tidak menyebelahi mereka.
“Ada beberapa perkara yang boleh kita perbaiki selepas melihat aksi menentang Bahrain kali ini dan yang pertama sudah tentu aspek kesilapan individu di atas padang.
“Kedua, kegagalan pemain mengawal emosi juga perlu diberi perhatian kerana saya mahu mereka bijak mengawal perasaan walaupun kita sedar ia bukan mudah kerana kita beraksi di laman lawan.
“Situasi ini penting agar fokus pasukan tidak terjejas meskipun kita tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil,” katanya selepas tamat perlawanan persahabatan kelas A dengan Bahrain di Manama semalam.
Dalam perlawanan itu, Malaysia tewas disebabkan dua kesilapan individu sehingga membolehkan Mahdi Abduljabbar menyempurnakan sepakan penalti minit ke-41 dan jaringan Jassim Marhoon (m-61).
Harimau Malaya turut gagal mengawal emosi menyaksikan Liridon Krasniqi dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil, manakala Safawi Rasid dikenakan kad merah biarpun telah diganti dengan pemain lain.
Selain kesilapan individu, gagal mengawal keadaan dalam situasi serangan balas antara kelemahan ketara Harimau Malaya yang perlu diperbaiki.
“Saya percaya setiap pemain sedar kelemahan mereka. Bila kita diserang balas, kita tidak dapat mengawal tempo tapi kita ada beberapa hari lagi untuk memperbaiki kelemahan dalam perlawanan akan datang,” katanya.