IPOH: Perak FC nafi berhutang tiga bulan gaji kepada pemain pasukan Liga Supernya.
Sebaliknya kelab itu hanya berhutang sebulan gaji iaitu untuk bulan April.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali berkata, pihaknya sudah menyelesaikan gaji untuk bulan Mac, semalam.
Begitupun Rizal berkata, dua pemain import Careca dan Leandro serta tonggak naturalisasi, Guilherme De Paula belum dibayar gaji kerana tidak cukup wang, manakala beberapa tonggak tempatan diberi saguhati RM10,000 seorang.
Menurut Rizal, baki gaji mereka akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, 13 Mei depan.
“Saya ingin menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan pemain Perak tidak menerima tiga bulan gaji.
“Kita sudah bayar gaji bulan Mac dan akan memastikan tunggakan hanya sebulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berikutan kemelut yang melanda pemain Perak dikatakan menghadapi kesulitan hingga ada yang mahu menjual aset seperti motosikal.
“Tidak tahulah saya kebenaran berita ini kerana gaji pemain ini bukan kecil tetapi puluhan ribu.
“Jadi tidak logiklah kalau sampai nak jual motosikal,”katanya.