IPOH: Perak semakin parah apabila kapten baharunya, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui turut dilamar pasukan lain untuk menghadapi baki kempen Liga Super musim ini.
Pengakuan bekas penjaga gawang kebangsaan itu pasti mencatat satu lagi detik hitam dalam skuad Bos Gaurus yang baru kehilangan Shahrul Saad dan Guilherme De Paula selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rizal Ali Naizali.
“Saya menerima tiga tawaran pasukan lain tetapi belum buat keputusan untuk terima atau tidak.
“Terus terang sukar untuk buat keputusan. Memang kalau boleh saya tidak mahu tinggalkan Perak.
“Apapun saya akan berbincang dahulu dengan keluarga sebelum membuat keputusan besar ini,” katanya yang tidak mendedahkan pasukan yang menagih khidmatnya.
Kata pemain berusia 28 tahun itu, dia mempunyai tempoh sehingga 31 Mei ini iaitu tarikh akhir bagi jendela perpindahan kedua, untuk memuktamadkan keputusan.
Tidak seperti beberapa pemain lain yang enggan turun padang selepas menerima tawaran, Hafizul bagaimanapun tetap membuktikan ‘jiwa’ masih bersama negeri kelahirannya dengan turun beraksi dalam perlawanan menentang Sri Pahang, malam kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, dua tonggak Bos Gaurus, J. Partiban dan Kenny Pallraj sudah diperkenalkan sebagai pemain baharu Kuala Lumpur City semalam.