IPOH: Kapten Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy nafi akan berpindah ke Kedah untuk baki kempen Liga Super mulai Julai ini.
Penjaga gol utama pasukan Bos Gaurus itu tidak akan ke mana-mana kerana masih sayangkan pasukan negeri kelahirannya.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Hafizul menyatakan terkejut dengan berita bahawa dia akan ke Kedah.
“Tidak betul tu. Saya tidak akan ke mana-mana musim ini.
“Saya sayangkan Perak dan bertekad untuk terus bantu pasukan negeri kelahiran saya ini,” katanya.
Hafizul berkata, setakat ini tidak mendengar mengenai perpindahan rakan-rakan lain.
Sebelum ini khabar angin bertiup kencang ramai lagi pemain akan meninggalkan pasukan Yob kerana kelewatan pembayaran gaji selama dua bulan.
Mereka mahu mengikut jejak Shahrul Saad, Guilherme De Paula, J. Partiban dan Kenny Pallraj yang sudah angkat kaki ke pasukan lain.
Bagaimanapun tindakan pantas pengurusan kelab dalam menyelesaikan tunggakan gaji bulan April sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri berjaya meredakan ketegangan yang berlaku.
Difahamkan Perak akan mendapatkan khidmat pemain import serta tenaga muda dari pasukan Perak II bagi mengisi kekosongan pasukan itu. – UTUSAN