PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) mengikut jejak langkah Kelantan dan Johor untuk meninggalkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bekuat kuasa serta merta.
Presidennya, Datuk Markiman Kobiran berkata, pihaknya juga akan memainkan peranan dalam menubuhkan dan menjadi ahli gabungan induk baharu sepak takraw yang akan menggantikan PSM.
Beliau berkata, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail sudah digantung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) selama 15 tahun atas empat kesalahan selain ingkar untuk memberikan jawapan bertulis terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atas dirinya.
“Seharusnya, Timbalan Presiden (Datuk Akramuddin Abdul Aziz) dan setiausaha (Datuk Abidullah Salleh) menggalas tanggungjawab itu, namun mereka terus berdiam diri selain tidak menjawab pertuduhan yang dikemukakan Astaf terhadap PSM. Tidak mustahil persatuan ini akan digantung kerana kesombongan mereka.
“Bersetuju bahawa pengurusan PSM tidak cekap dalam menjalankan tanggungjawab mereka membuatkan kami sebagai ahli gabungan PSM hilang keyakinan terhadap mereka dan atas dasar itu kami mengambil keputusan meninggalkan PSM,” katanya.
Terdahulu, Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) mengambil keputusan meninggalkan badan induk itu kerana hilang kepercayaan terhadap PSM.
Rentetan itu, Persatuan Sepaktkraw Johor (PSJ) juga mengikut jejak langkah sama dengan presiden mereka, Datuk Abdul Halim Suleiman turut melepaskan jawatannya selaku Naib Presiden I PSM, bekuat kuasa serta merta.