IPOH: Selepas Shahrul Saad dan Guilherme De Paula, J. Partiban dan Kenny Pallraj pula mungkin angkat kaki meninggalkan Perak.
Kedua-dua pemain hari ini diperkenalkan secara rasmi sebagai keluarga baharu Kuala Lumpur City.
Isyarat pemergian mereka sudah dilihat sejak kelmarin selepas kedua-dua pemain i tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika skuad Bos Gaurus menentang Sri Pahang di Stadium Perak, Ipoh.
Turut tiada dalam senarai penjaga gol kedua, Asri Ghani selain pertahanan Amirul Azhan Adnan, yang sedang menjalani penggantungan kerana mengutip tiga kad kuning.
Hakikat itu diakui sendiri oleh jurulatih Perak, Chong Yee Fatt apabila berkata, ‘mereka sudah tidak bersama pasukan’.
Difahamkan pemain tersebut dan beberapa jentera lain menerima tawaran daripada pasukan lain.
“Jadi perjuangan tetap diteruskan dengan pemain yang ada. Perak ada lebih kurang 45 pemain lagi iaitu dari skuad liga Super dan Perak II.
“Mereka inilah yang akan meneruskan baki perjuangan sembilan perlawanan nanti,” jawab Yee Fatt ketika ditanya mengapa terlalu ramai pemain Perak II berada dibangku pemain simpanan.
Berhubung kekalahan 2-3 kepada Sri Pahang FC, jurulatih itu berkata, Perak sudah mencuba bersungguh tetapi malangnya tidak berjaya.
Sehubungan itu, Yee Fatt akan menggunakan tempoh rehat panjang sehingga 8 Julai ini untuk membina semula pasukan dalam usaha mengutip mata sebanyak mungkin.