KOTA BHARU: Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) secara rasmi mengumumkan pengunduran dari Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkuatkuasa hari ini.
Berita mengejutkan itu diumunkan sendiri oleh Presiden Gastak Zuraidin Abdullah.
Zuraidin berkata, keputusan itu dibuat selepas Gastak mencapai kata sepakat berhubung penarikan diri menerusi mesyuarat yang diaadakan bersama ahli jawatankuasa.
Menurutnya, tindakan itu susulan hukuman pengantunggan yang dikenakan ke atas Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) pada 5 Mei lalu.
“Kami mengambil langkah susulan ini bertujuan memulihkan semula maruah serta pembangunan sukan sepak takraw di segenap peringkat.
“Gastak berpendirian bahawa sudah tiba masa seluruh pentadbir baik dibperingkat nasional atau negeri mengambil tanggungjawab dengan menetapkan arah tuju lebih jelas demi kelangsungan sukan ini pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zuraidin memberitahu, Gastak tidak menolak kemungkinan ada lagi ahli gabungan PSM akan membuat keputusan sama dalam masa terdekat.
Katanya, hukuman itu boleh dianggap sebagai peristiwa malang yang boleh menjejaskan nama baik PSM dan Malaysia.
Ujarnya, Gastak bimbang jika masalah antara PSM dan Astaf berlarutan ia akan menjejaskan pembangunan sukan
sepak takraw di negara ini.
“Gastak sebelum ini mempunyai pendirian tidak berbelah bagi memberikan kerjasama dan sokongan terhadap pelbagai program dilakukan PSM.
“Sejujurnya, kami kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh PSM walaupun telah diberikan ruang untuk berdepan dengan jawatankuasa disiplin Astaf,” katanya.